Home Semasa Tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli di Kelantan – Takiyuddin

Tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli di Kelantan – Takiyuddin

by Air Times News Network

GOMBAK, 11 Ogos – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa wujud beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cuba menghasut masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, menuntut tanah adat kononnya milik nenek moyang mereka.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, tanah adat yang dituntut sebenarnya hak mutlak kerajaan Kelantan.

“Di Kelantan, tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tidak pernah diwartakan (tanah adat Orang Asli).

“Yang menjadi masalah ialah ada sebahagian Orang Asli disokong beberapa NGO mendakwa tanah milik Orang Asli itu diceroboh. Sebenarnya syarikat pembalakan diberi kebenaran melakukan aktiviti mereka oleh Jabatan Perhutanan.

“Tanah ini sebenarnya milik kerajaan negeri. Mereka buat halangan menghalang pembalak yang melalui kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat bulanan PAS Pusat, di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, walaupun dalam Undang-Undang Tubuh Kelantan tiada istilah tanah adat Orang Asli, kerajaan negeri sudah mewartakan kawasan ‘rayau’ yang membenarkan masyarakat itu melakukan aktiviti harian mereka tanpa gangguan.

“Kawasan rayau Orang Asli ialah kawasan perkampungan dan sekitarnya di mana mereka boleh bercucuk tanam dan menjaga ternakan.

“Kerajaan negeri tidak akan sesekali mengeluarkan permit kepada syarikat pembalakan di kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan rayau Orang Asli,” katanya.

Semalam, kira-kira 200 masyarakat Orang Asli berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri meminta bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mewartakan tanah adat mereka di Kelantan.

Malah, Dr Mahathir berjanji akan berbincang dengan kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Isu itu tercetus apabila beberapa syarikat didakwa kononnya menceroboh tanah wilayah adat bagi membuka ladang durian sehingga mendorong masyarakat Orang Asli dari 17 perkampungan membina sekatan bagi menghalang pencerobohan itu sejak 18 Februari lalu.

Related Articles

Leave a Reply