Home Pertahanan dan Keselamatan Penutupan KSCIP diputuskan Kabinet – Mohamad Sabu

Penutupan KSCIP diputuskan Kabinet – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Penutupan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) diputuskan oleh jemaah Kabinet dan bukannya keputusan Kementerian Pertahanan semata-mata.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, keputusan diumumkan kelmarin menerusi jawapan bertulis sesi soal jawab di Dewan Rakyat adalah hasil keputusan bersama jemaah menteri.

“Keputusan Kabinet,” katanya ringkas ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Amanah itu memaklumkan, fungsi KSCIP diserap di bawah Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di bawah Kementerian Pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menjelaskan, Malaysia hanya akan menghantar pasukan tenteranya ke negara-negara di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kita hanya akan menghantar tentera ke negara bawah PBB, ini juga keputusan Kabinet.

“Semua negara bawah PBB sahaja misalnya Lubnan, Darfur, Somalia dan sebagainya,” katanya.

Jun lalu, Kabinet memutuskan menarik balik anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi bagi mengelakkan mereka terlibat dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman sejak 2015 sehingga kini.

Mohamad berkata, kehadiran tentera Malaysia di negara itu yang dihantar oleh kerajaan sebelum ini menyebabkan negara secara tidak langsung diheret dalam konflik di Timur Tengah.

Related Articles

Leave a Reply