Home Pertahanan dan Keselamatan Pertahanan negara lemah: Setiausaha Akhbar perbetulkan kenyataan Mat Sabu

Pertahanan negara lemah: Setiausaha Akhbar perbetulkan kenyataan Mat Sabu

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Mohamad Sabu tidak memaksudkan bahawa kemampuan dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah lemah dibandingkan negara serantau.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Amin Iskandar, Setiausaha Akhbar Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia pada hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas timbul laporan media tempatan mengenai kenyataan Menteri Pertahanan semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada pagi tadi.

Dalam kenyataan media yang sama, pihak Kementerian Pertahanan Malaysia menyatakan bahawa ATM sentiasa siap siaga dan mampu mempertahankan kedaulatan negara dari sebarang pencerobohan dan ancaman.

Walaupun begitu, Amin Iskandar menyatakan bahawa masih terdapat keperluan bagi ATM memperkasakan aset-aset ketenteraan agar ia sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Dalam sesi Dewan Rakyat pada pagi tadi juga, Menteri Pertahanan menyuarakan bahawa beliau berikrar untuk memperkasakan ATM dan memastikan kekuatan ATM sentiasa seiring dengan keperluan semasa tanah air.

Related Articles

Leave a Reply