Jumlah itu adalah daripada 400 keseluruhan prosedur pembedahan yang dilakukan di MFH sejak Mac lalu.

Setakat ini, tiada hospital di wilayah Cox’s Bazar yang memiliki kepakaran pembedahan la­paroskopik selain Hospital Me­dan Malaysia.

Pakar bedah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dr. Yugasaravanan Khandasamy, berkata pembedahan laparoskopik berbeza daripada pembedahan konvensional.

Beliau berkata, pembedahan laparoskopik yang lebih rumit membolehkan pesakit cepat sembuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman serta komplikasi.

“Kami adalah hospital pertama di sini yang ada kepakaran pembedahan laparoskopik. Pada 1994, di hospital hadapan Bosnia (kami) pernah guna laparoskopik tapi fasa percubaan.

“Pasukan Amerika Syarikat ketika itu menjalankan tujuh pembedahan laparoskopik untuk anggotanya. Pembedahan (laparoskopik di MFH) hari ini adalah kes ke-13 sejak 18 Jlai. Sebelum ini, kita hanya jalankan pembedahan konvensional,” katanya di sini.

Pembedahan laparoskopik ke-13 itu diketuai Dr. Yugasaravanan dengan dibantu pakar bius, Dr. Omar Loman; doktor bius, Dr. Ahmad Faidhi Mohd Zaini dan dua petugas lain.

Pembedahan laparoskopik ke atas pelarian Rohingya, Rohmat Ullah, 25, yang mengalami angin pasang, atau hernia, berlangsung selama sejam tanpa sebarang komplikasi.

Komander MFH, Brigidier Je­neral Dr Adnan Abdullah berkata, pembedahan laparoskopik dijalankan kerana prosedur itu memiliki banyak kelebihan berbanding kaedah biasa.

“Melalui pembedahan laparoskopik, risiko pendarahan semasa pembedahan kepada pesakit dapat dikurangkan,” kata Dr. Adnan yang turut memantau pembedahan itu.

Hospital Medan Malaysia mula beroperasi hujung 2017 selepas berlakunya kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat operasi berdarah tentera Myanmar di utara Rakhine pada 25 Ogos tahun lalu.

Kini terdapat lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar.

Setakat ini, hampir 14,000 pesakit dirawat sejak Mac lalu selepas ATM mengambil alih operasi hospital medan daripada Kementerian Kesihatan.