Home Semasa Pembocor maklumat sulit kerajaan umpama ‘musuh dalam selimut’ – Azih Muda

Pembocor maklumat sulit kerajaan umpama ‘musuh dalam selimut’ – Azih Muda

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Penjawat awam diminta mengamalkan prinsip integriti dan bersikap amanah dengan tidak berkongsi sebarang maklumat atau dokumen sulit kerajaan dalam media sosial.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata penjawat awam harus sedar bahawa tindakan membocorkan maklumat rahsia kerajaan menerusi aplikasi Whatsapp, Facebook dan platform media sosial lain bermakna mereka telah melanggar integriti penjawat awam dan sumpah simpan rahsia.

“Apakah tujuan sebenar penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan? Adakah kerana suka-suka, mahu menjadi popular… tahukah mereka bahawa tindakan tidak bertanggungjawab ini akan memberi implikasi terhadap kerajaan dan negara?

“Penjawat awam harus mentaati ikrar dan bertanggungjawab menjaga rahsia kerajaan mengikut Surat Pekeliling Am dan Arahan Keselamatan Kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam agar semua penjawat awam tidak sekali-kali berkongsi sebarang maklumat atau dokumen sulit kerajaan dalam media sosial.

Penjawat awam terikat dengan Akta Rahsia Rasmi, oleh itu hendaklah sentiasa bertanggungjawab menyimpan rahsia sulit kerajaan dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam pengurusan serta pengendalian dokumen-dokumen, kata Ali.

Azih berkata pembocor maklumat sulit kerajaan seumpama ‘musuh dalam selimut’ kerana mendedahkan kerajaan dan negara kepada risiko serta sudah pasti ada pihak akan mengambil peluang ini untuk kepentingan atau agenda masing-masing.

“Sehubungan itu, tindakan paling tegas perlu dikenakan terhadap penjawat awam yang melakukan kesalahan ini tanpa mengambil kira sama ada berjawatan tinggi atau rendah bagi memastikan perbuatan itu tidak berulang dan berleluasa kerana ia boleh mengancam keselamatan negara.

“Tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil setelah dibuktikan kesalahannya, pelanggaran peraturan ini boleh menyebabkan penjawat awam yang terbabit dikenakan tindakan tatatertib atau tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku sejak kebelakangan ini ialah penyebaran gambar surat rasmi jabatan yang juga dokumen sulit diedarkan menerusi aplikasi Whatsapp dan seterusnya menjadi tular. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply