Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia hentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman

Malaysia hentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Malaysia menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan pejabat sementara di Jalan Ampang juga ditutup serta-merta, kata Menteri Pertahanan.

Mohamad Sabu berkata, fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

“Kerajaan memutuskan operasi KSCIP ditamatkan dan pejabat sementara KSCIP di Menara HLA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta,” katanya di Dewan Rakyat, menerusi jawapan bertulis kepada soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) yang meminta penjelasan berhubung fungsi dan peranan pusat melawan keganasan itu.

KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

KSCIP ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL yang lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.

Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, bersamaan 20 padang bola sepak.

Mat Sabu pada Julai 2017 mempersoalkan komitmen Malaysia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, sedangkan negara itu di bawah penelitian disebabkan ideologi pelampaunya.

Related Articles

Leave a Reply