Ketika ditemui di Bandar Puteri di sini, beliau menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti mana dalam rakaman audio berkenaan yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Malah, beliau menyifatkan rakaman audio yang mirip suaranya itu sebagai kesat dan tidak wajar.

“Saya tak guna bahasa kesat seperti itu. Istilah ‘barua’ bukan bahasa saya, jangan terpengaruh dengan fitnah.

“Bagi saya perkara ini bukan satu perkara yang sihat. Saya tidak pernah beri ucapan mengenai pengumuman kerajaan membabitkan Khazanah melainkan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis. Ketika itu saya di Turki,” katanya kepada pemberita malam ini.

Tambah Anwar, mana-mana pihak tidak bodoh untuk mempercayai rakaman audio tersebut yang dianggap tidak berasas sama sekali untuk mengaitkan dirinya.

Malah, beliau tidak tahu sama ada rakaman audio tersebut sama ada dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) atau disebabkan ada kaitan dengan pemilihan PKR pada bulan ini.

Rakaman audio mirip suara Anwar mengkritik Mohamed Azmin dan Dr. Mahathir tular melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Rakaman suara tersebut antara lain menyebut: “Sebab itu I suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin dah jadi barua pada Mahathir ni pasai apa?, dulu dia tuduh saya liwat…. dia jangan lupa apa jadi pada kes Forex dia RM30 bilion dan dia lantik diri dia jadi Pengerusi Khazanah… apa ni?..rakyat rugi, MAS rugi, Khazanah rugi”.

Pada 30 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad manakala Mohamed Azmin dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat berkaitan kerajaan itu.