Home Pertahanan dan Keselamatan Agong cemar duli peringati para pahlawan

Agong cemar duli peringati para pahlawan

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 31 Jul – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli berangkat berangkat menyempurnakan istiadat perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara disini.

Sebaik keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, lagu ‘Negaraku’ dimainkan dan Sultan Muhammad V kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan diiringi 21 das tembakan meriam kehormatan yang disempurnakan oleh 41 Bateri Istiadat, Rejimen Artileri Diraja diketuai oleh Mejar Mohd. Asri Che Wil.

Perbarisan ini terdiri daripada enam detasmen dengan seramai 46 pegawai dan 823 anggota lain-lain pangkat ia terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, PDRM, Persatuan Veteran ATM (PV ATM) termasuk Pesara PDRM yang diwakili oleh Persatuan Skuad 69.

Perbarisan ini adalah gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan perbarisan statik tanpa senjata diketuai Leftenan Kolonel Samhasri Samah.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Hj Mohamad Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Tuan Haji Mohamad Sabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin turut hadir.

Hadir sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Hj Affendi Buang TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohd Reza dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Sebuah pantomim mengenang jasa perwira dalam ‘Operasi Iblis 1971’ turut dipersembahkan – Foto M.Daim AirTimes

Pada istiadat perbarisan ini, sebuah pantomim mengenang jasa perwira dalam ‘Operasi Iblis 1971’ turut dipersembahkan.

Pantomim ini menceritakan operasi yang dilancarkan oleh Markas Briged Kedua Infatri Malaysia berikutan kehadiran pengganas di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.

Ia diketuai Kapten Mohana Chandran dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang kemudian terkorban dalam operasi mempertahankan ibu pertiwi.

Pantomim mengkisahkan Kapten Mohana Chandran dari 4 RRD terkorban dalam operasi mempertahankan ibu pertiwi – Foto M.Daim AirTimes

Operasi dijalankan adalah untuk mencari dan memusnahkan Unit Penggempur Ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang beroperasi merangkumi kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River, Perak.

Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2018 diadakan untuk menzahirkan penghargaan kepada jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.

Related Articles

Leave a Reply