Home Semasa Tidak wajar mansuh Sosma – Musa

Tidak wajar mansuh Sosma – Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Jul  – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak wajar dimansuhkan kerana terbukti ia berjaya mengekang jenayah serta keganasan terancang di Malaysia.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sekiranya kerajaan meneruskan hasrat memansuhkan Sosma, mereka perlu mewujudkan akta lain yang berperanan menangani masalah tersebut di negara ini.

Menurutnya, kuasa dan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak wajar dikurangkan kerana mereka berperanan menjaga keselamatan negara ini.

“Saya berpendapat setakat hari ini Sosma berjaya mengekang jenayah terancang dan keganasan terancang. Lihat sahaja kejayaan PDRM mengekang anasir-anasir luar daripada mengancam negara. Kalau Sosma ini gagal, saya rasa Daesh dengan mudah masuk.

“Apabila undang-undang diubah dan kuasa polis dikurangkan, ia boleh menyebabkan keselamatan negara tergugat. Bagi saya, Sosma tidak perlu dimansuhkan atau dipinda kerana sudah bagus,” katanya.

Semalam, peguam, Syahredzan Johan mendakwa undang-undang tersebut gagal mengimbangi keperluan untuk menangani keganasan dengan hak-hak suspek dan tertuduh yang belum lagi disabitkan apa-apa kesalahan oleh mahkamah.

Katanya, antara peruntukan drakonian dalam undang-undang tersebut adalah penahanan 28 hari seorang suspek tanpa perlu mendapat apa-apa perintah tahanan reman daripada mahkamah.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, suspek tidak diberikan akses kepada peguam dan selalunya dikenakan tekanan untuk mengaku salah.

Mengulas perkara tersebut, Musa berkata, akses suspek kepada peguam telah diputuskan melalui kes-kes perbicaraan terdahulu (precedents).

“Setelah siasatan oleh pihak penguat kuasa selesai dengan secepat mungkin diberikan akses kepada peguam.

“Sosma tidak seperti ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960). Selepas tamat siasatan, suspek perlu dituduh di mahkamah dan jika tiada keterangan suspek perlu dibebaskan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply