Home SemasaGlobal Penjara mewah di Indonesia diserbu

Penjara mewah di Indonesia diserbu

by Noor Sheila Amin

BANDUNG, 24 Jul – Banduan penjara Indonesia didapati membayar untuk sel mewah yang dilengkapi penyaman udara, televisyen skrin rata dan bilik air persendirian, kata pegawai anti rasuah dalam pendedahan skandal rasuah terbaru di negara itu.

Kakitangan penjara disyaki menerima rasuah antara 200 juta hingga 500 juta rupiah (RM56,896 hingga RM142,240) daripada banduan untuk menaik taraf dan membekalkan telefon bimbit atau membenarkan mereka keluar sementara dari penjara, kata Suruhanjaya Pencegah Rasuah (KPK) Indonesia.

Difahamkan, pegawai anti rasuah menahan lima suspek yang dikaitkan dengan skandal di penjara Sukamiskin termasuk banduan dan warden yang menerima wang tunai dan dua buah kenderaan sebagai habuan kerana melanggar undang-undang.

Satu serbuan Ahad lalu mendapati beberapa sel menawarkan bilik air moden dengan pemanas air, peti ais, pembancuh kopi, ketuhar gelombang mikro dan pembesar suara, kata KPK.

“Kami memohon maaf kepada rakyat Indonesia. Kami amat memohon maaf kerana tidak mampu memantapkan sistem pemantauan kami,” kata Ketua Pengarah Penjara Indonesia, Budi Utami. – AFP

Related Articles

Leave a Reply