Home Pertahanan dan Keselamatan Kementah perlu larang orang awam pakai pakaian seragam ATM

Kementah perlu larang orang awam pakai pakaian seragam ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Jul – Kementerian Pertahanan digesa memastikan orang awam tidak sewenang-wenangnya memakai pakaian seragam anggota keselamatan bagi menjaga imej badan beruniform agar sentiasa dihormati dan dipandang tinggi.

Datuk Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) berkata orang awam tidak sepatutnya dibenarkan memakai pakaian seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seolah-olah mereka adalah anggota keselamatan yang sedang berkhidmat.

“Perkara ini sering ditimbulkan kepada saya berkenaan pemakaian pakaian seragam anggota keselamatan oleh orang awam sama ada selebriti mahupun ahli politik.

“Jika saya sebagai laksamana ATM yang ditauliahkan Yang Dipertua Agong pun tidak dibenarkan memakai pakaian seragam tentera selepas bersara apatah lagi orang yang tidak pernah berkhidmat dalam ATM,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata tindakan melarang orang awam memakai pakaian seragam anggota badan beruniform termasuk tentera dan polis bagi menjaga moral anggota keselamatan yang sedang berkhidmat.

Selain itu, Danyal menyarankan kementerian itu memperkasakan dan mempercepatkan proses perolehan dan pembelian aset-aset ketenteraan agar tidak timbul sebarang skandal melibatkan rasuah.

“Kos-kos bagi proses perolehan seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu telah membebankan kewangan kerajaan dengan melibatkan perbelanjaan yang keterlaluan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply