Home Semasa FAM kaji benarkan pemain naturalisasi wakili Malaysia – Hamidin

FAM kaji benarkan pemain naturalisasi wakili Malaysia – Hamidin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini sedia mengkaji cadangan untuk membenarkan pemain naturalisasi mewakili skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Perkembangan itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui cadangan menaturalisasikan pemain luar dengan memberi kerakyatan negara ini dilihat menjadi alternatif terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan kebangsaan seperti yang dilakukan oleh Filipina.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan cadangan itu masih di peringkat awal dan banyak lagi ‘kerja’ yang perlu dilakukan dalam usaha memastikan cadangan itu dapat direalisasikan.

“Perkara ini akan dibentangkan dalam jawatankuasa pasukan kebangsaan dan perlu diperhalusi kerana ia memerlukan komitmen kerajaan dan juga komitmen dengan negara lain. Sebagai contoh, pemain yang sesuai untuk dinaturalisasikan adalah pemain dari Brazil dan juga benua Afrika.

“Di sini, kita perlu berbincang dengan banyak pihak termasuklah kerajaan dan juga Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Selepas lama berada dalam bola sepak, saya melihat ini adalah salah satu cara untuk melonjakkan kembali bola sepak negara seperti dilakukan Filipina.

“Ini adalah cetusan idea yang sememangnya saya impikan. Apapun, ia perlu dibahaskan dalam mesyuarat jawatankuasa dan sudah tentu perkara ini akan mengambil masa.

“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan laksanakannya tetapi masih ada proses yang perlu difikirkan selepas ini,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Presiden FAM dan EXCO bersama penyokong bola sepak negara di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, badan induk itu hanya memberi ‘lampu hijau’ kepada pemain berdarah campuran yang memiliki hubungan susur galur di Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.

Antara pemain berdarah campuran yang sudah mewakili skuad kebangsaan termasuklah Matthew Davies (Pahang), Natxo Insa (JDT), Brendan Gan (Perak) dan juga Khair Jones (Melaka United).

Related Articles

Leave a Reply