Home Semasa Kebajikan VKU ATM tidak diabai

Kebajikan VKU ATM tidak diabai

by Noor Sheila Amin

KLANG, 20 JUL – Pengorbanan dan bakti yang ditunjukkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), cukup besar, terutama demi mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari memaklumkan, Kerajaan Negeri komited memastikan nasib veteran ATM, khususnya Veteran Kurang Upaya (VKU) sentiasa dibela.

“Justeru, Kerajaan Negeri masih meneruskan tradisi sebelum ini iaitu turun ke setiap kawasan untuk menziarahi bekas perajurit yang banyak menyumbang kepada negara.

“Sumbangan memang layak diberi kepada mereka sebagai tanda penghargaan atas komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan menganggotai angkatan tentera.

“Mereka bukan sahaja banyak menyumbang sewaktu bertugas, bahkan tetap meneruskan khidmat selepas bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan sumbangan kepada VKU ATM, di Taman Sri Andalas, di sini, semalam.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan VKU, Mustafa Kamal Mat Jamil, 80, berkata, beliau berasa sungguh terharu dan teruja atas kunjungan Dato’ Menteri Besar dan penyampaian sumbangan berkenaan.

“Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan saya selama ini tidak pernah dilupakan pucuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri.

“Ini kali pertama, beliau (Dato’ Menteri Besar) hadir dan ia ternyata menyuntik sokongan moral, sekali gus menyebar luaskan kepada umum bahawa Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap rakyat,” katanya.

Mustafa sebelum ini berkhidmat sebagai anggota tentera sejak lebih 30 tahun.

Gambar – Kredit Akaun Twitter MB Selangor

Related Articles

Leave a Reply