Home PolitikBarisan Nasional Tiada tindakan pada KJ – Annuar Musa

Tiada tindakan pada KJ – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Jul – Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata tiada tindakan akan dikenakan ke atas bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tidak menyertai anggota parlimen BN dan PAS keluar dari Dewan Rakyat.

Ini kerana, kata Annuar parti itu mengamalkan “dasar terbuka”.

Anggota parlimen Ketereh itu menambah, Khairy tidak keluar dewan kerana tidak menghadiri mesyuarat parti itu 15 Julai lalu yang memutuskan reaksi tertentu berhubung isu speaker Dewan Rakyat.

“Kami hormat pandangannya yang merupakan pandangan peribadinya. Pandangan kami berdasarkan konsensus dan membabitkan semua parti komponen (BN),” katanya dipetik sebagai berkata.

Semalam, kekecohan berlaku tidak lama selepas anggota parlimen mengambil tempat duduk masing-masing untuk memulakan prosiding parlimen penggal ke-14.

Kekecohan itu terjadi ketika Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai speaker.

Anggota parlimen pembangkang mempertikaikan pelantikan itu sebagai tidak mengikut peraturan Dewan Rakyat yang menetapkan agar nama Mohamad Ariff diserahkan 14 hari sebelum parlimen bersidang, iaitu sekurang-kurangnya pada 2 Julai.

Bagaimanapun, terdapat percanggahan kenyataan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berhubung tarikh penyerahan nama bekas ketua hakim Mahkamah Rayuan itu.

Anggota parlimen BN dan PAS kemudian melangkah keluar dewan sebagai bantahan. Hanya Khairy dan Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman yang kekal di kerusi.

Ketika bercakap kepada pemberita berhubung pertikaian tarikh penyerahan nama calon speaker, Dr Mahathir menegaskan pihaknya menghantar nama Mohamad Ariff pada 2 Julai.

Sementara itu, mengulas tindakan keluar dewan, Annuar menafikan ia sebagai memboikot prosiding parlimen.

Sebaliknya, kata Annuar, mereka sekadar keluar dari Dewan Rakyat untuk bercakap kepada media berhubung pelantikan Mohamad Ariff.

“Kami hanya keluar untuk bercakap kepada media,” katanya dipetik sebagai berkata.

Related Articles

Leave a Reply