Kesemua mereka berarak ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar sambil membawa sebuah sepanduk tertera supaya pihak berkuasa menyiasat Ramasamy, selepas selesai solat zohor di Masjid Alwi di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.

Antara NGO terlibat ialah Persatuan Al-Islah Perlis dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri selain UMNO dan Pas.

Menurut Presiden Skuad Mubaligh Malaysia, Zamri Vinoth Abdullah, pihaknya mempunyai banyak bukti daripada segi kenyataan dan pembabitan Ramasamy dalam kumpulan pelampau agama berasal dari luar negara itu.

Katanya, ini termasuk lapan artikel yang dikongsi Ramasamy yang menunjukkan sokongan beliau secara langsung terhadap kumpulan itu.

“Kita mahu kerajaan di bawah kepemimpinan baharu ini menyiasat Ramasamy (atas pembabitan terhadap LTTE) dan menangkapnya kerana LTTE merupakan kumpulan berbahaya jika dibiarkan di negara ini.

“Apatah lagi Ramasamy mempunyai jawatan yang penting dalam parti politik (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang) dan boleh mempengaruhi masyarakat terutamanya kaum India,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zamri seterusnya meminta rakyat negara ini membuat laporan polis bagi mendesak supaya tindakan segera diambil terhadap Ramasamy yang boleh menganggu-gugat keharmonian antara kaum dan keselamatan negara.