Home Pertahanan dan Keselamatan Perintah berkurung Esszone dilanjut hingga 30 Jul 18

Perintah berkurung Esszone dilanjut hingga 30 Jul 18

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 15 Jul – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir 6 petang ini dilanjutkan hingga 30 Julai.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara pukul 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata perintah berkurung tersebut meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurutnya, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan.

Katanya perintah berkurung berkenaan juga adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan Esszone.

Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply