Home Pertahanan dan Keselamatan Kisah Abdullah dapat perhatian ATM

Kisah Abdullah dapat perhatian ATM

by Nurulhuda

BALING, 15 Jul – Dua lelaki tidak menyangka tindakan mereka menularkan kisah kedaifan hidup veteran askar menarik perhatian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini.

Abdul Samad Omar,50, berkata, dia dan Azizan Salleh,59 mengambil alternatif untuk menularkan kisah Abdullah Yahaya,59 dengan harapan lelaki berkenaan dapat dibantu pihak berwajib.

“Rumah didiami Abdullah cukup daif, tandas pun tak ada. Kami tak sangka ATM juga turun padang memberikan bantuan. Hari pertama, empat anggota dari 6 Briged Sungai Petani dan empat lagi anggota dari 6 Skuadron Perlis datang meninjau keadaan Abdullah,” katanya kepada pemberita semalam.

Abdul Samad berkata, pada hari kedua, kira-kira 30 lagi anggota ATM dari 6 Briged Sungai Petani, hadir memberikan bantuan kepada bekas veteran askar itu.

“Mereka datang dengan dua trak askar bersama peralatan lengkap untuk membersihkan kawasan rumah Abdullah,” katanya.

Abdul Samad berkata, dia juga berterima kasih kepada pelbagai agensi yang hadir memberikan bantuan termasuk Adun Bayu,  Abd Nasir Idris kerana prihatin dengan masalah itu dan sedia memberikan bantuan yang diperlukan.

“Kes ini telah lama, jadi dengan adanya kerajaan baharu dan wakil rakyat baharu kita harap hidup rakyat lebih terbela.

“Saya juga harap masyarakat terus membantu membina rumah baru untuk Abdullah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply