Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Jenazah bekas timbalan panglima TLDM selamat dikebumikan

Jenazah bekas timbalan panglima TLDM selamat dikebumikan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jul – Jenazah bekas Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini pada kira-kira 9.15 pagi ini.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata lebih 300 orang termasuk anggota keluarga dan pegawai TLDM menghadiri pengebumian itu yang dilakukan mengikut istiadat pengebumian pegawai kanan TLDM.

“Kami warga TLDM sangat sedih atas pemergian arwah yang telah mencurahkan bakti kepada raja dan negara dalam perkhidmatan TLDM dengan penuh taat setia dan dedikasi.

Tempoh lebih 40 tahun perkhidmatan itu merupakan satu pengorbanan besar seseorang individu atau pemimpin,” katanya lagi.

Ahmad Kamarulzaman berkata pemergian Allahyarham juga satu kehilangan kepada beliau kerana arwah adalah sahabat karib dan seorang pemimpin yang sangat merendah diri.

Beliau berkata Allahyarham Anuwi juga merupakan tenaga penggerak dan pendorong Program Transformasi 15 ke-5 yang giat dilaksanakan TLDM.

“Saya terharu dengan kehadiran lima orang bekas Panglima TLDM dan para veteran TLDM sebagai tanda penghormatan dan keakraban antara Navy People,” katanya.

Allahyarham Anuwi, 59, meninggal dunia pada kira-kira 1.55 pagi tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, dipercayai akibat kanser kolon.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Terengganu memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima TLDM pada 18 Nov 2015.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Adida Abdul Aziz, seorang anak perempuan dan dua anak lelaki.

Related Articles

Leave a Reply