Home Semasa Wartawan dijamu babi, penganjur mohon maaf

Wartawan dijamu babi, penganjur mohon maaf

by M.Daim

MELAKA, 13 Julai – Beberapa orang wartawan beragama Islam dan Hindu yang membuat liputan majlis makan malam Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong berasa amat terkilan atas sikap tidak sensitif penganjur yang menghidangkan daging babi tanpa memaklumkan perkara tersebut.

Majlis yang dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, ahli-ahli dewan undangan negeri serta beberapa tetamu kehormat itu gagal dikelolakan dengan baik di mana pihak penganjur tidak menyediakan meja khas untuk makanan halal kepada wartawan beragama Islam.

Utusan Malaysia melaporkan bahawa tiada langsung wakil daripada pihak penganjur yang mendekati wartawan untuk memaklumkan mengenai jenis hidangan sepanjang majlis tersebut hingga menyebabkan wartawan beragama Islam duduk semeja dan makan makanan yang tidak diyakini halal bersama wartawan bukan Islam.

Antara wartawan yang hadir termasuk daripada agensi berita Utusan Malaysia, MelakaKini, RTM Melaka, The Star dan Tamil Nesan Daily selain beberapa wartawan daripada akhbar Cina.

Memohon maaf

Sementara itu, Persatuan Perlindungan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (APDAM) akan menghantar surat permohonan maaf kepada kerajaan negeri melalui Ketua Menteri, Adly Zahari, minggu depan, berhubung kejadian babi dihidangkan di meja wakil media.

Setiausaha Agung APDAM, Chai Siong Siew, berkata pihaknya bertanggungjawab sebagai penganjur Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, Melaka, malam tadi.

Beliau berkata, kejadian berlaku disebabkan salah faham antara kedua-dua pihak membabitkan penganjur dan wakil media berikutan tiada komunikasi berlaku ketika liputan.

“Sebenarnya, kita ada menjemput media melalui surat jemputan, namun hanya tiga agensi akhbar berbahasa Cina yang memberi maklum balas. Jadi, kita hanya sediakan menu khinzir di meja media.

“Tidak sangka pada malam kejadian ramai wartawan beragama Islam dan Hindu hadir. Saya tidak menyedari (kehadiran) mereka kerana berucap di pentas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya memang akan membawa wartawan beragama Islam dan Hindu ke meja yang menghidangkan makanan halal jika mengetahui kehadiran mereka kerana sudah menyediakan lima meja VIP bersama hidangan halal itu.

Sementara itu, Kelab Media Massa Melaka (KEMM) kesal dengan kejadian berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Yang Dipertua KEMM, Samat Majid, berkata ia disebabkan sikap penganjur kurang sensitif terhadap kumpulan wartawan beragama Islam yang membuat liputan di majlis itu.

“Kami sudah memanjangkan isu ini kepada kerajaan negeri dan penganjur supaya mereka (penganjur) membuat permohonan maaf secara terbuka bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

“Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepada mereka dan lebih berhati-hati dalam sebarang penganjuran majlis pada masa depan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply