Pada masa sama, Presidennya, Ismail Abidin turut meminta jasa baik kerajaan untuk menaikkan bantuan tersebut kepada RM500 sebulan sekali gus dapat membantu meringankan beban bekas anggota tentera berkenaan yang banyak berkorban untuk negara khususnya ketika zaman komunis satu ketika dahulu.

Katanya, sebelum ini, bantuan tersebut diberikan kepada mereka yang sakit dan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu memohon bagi mendapatkannya.

“Keutamaan juga perlu diberikan kepada kira-kira 100,000 orang bekas anggota tentera yang bertugas daripada zaman selepas merdeka sehingga 1990 iaitu ketika negara terpaksa berhadapan dengan ancaman komunis.

“Kita berharap kerajaan baharu ini dapat mempertimbangkan permohonan tersebut selain meneruskan bantuan lain seperti perubatan, baik pulih rumah, persekolahan, Bantuan Bakti Negara (BBN) dan banyak lagi demi kebajikan bekas anggota tentera ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Ismail yang juga Yang Dipertua PVATTBM cawangan negeri ini, terdapat beberapa masalah yang dihadapi para veteran tentera ini kerana mereka tidak tahu status mereka sama ada masih menerima bantuan atau sebaliknya di bawah pemerintahan kerajaan baharu ini.

“Ada pelbagai bantuan kebajikan yang diberikan kerajaan terdahulu dan diharapkan ia dapat diteruskan oleh kerajaan sekarang.

“Baru-baru ini, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan) telah menyatakan untuk meningkatkan bantuan kebajikan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran pasukan keselamatan itu. Namun sehingga kini, kita masih belum mendapatkan maklumat terkini mengenainya,” katanya yang memaklumkan persatuan itu mempunyai lebih daripada 80,000 ahli.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, pihaknya juga memohon kepada kerajaan supaya menambah kuota jemaah haji bagi bekas tentera ini daripada 200 kepada 400 selepas ini.

Katanya, kebanyakan umur veteran tentera ini sudah lanjut dan dengan penambahan kuota itu sekurang-sekurangnya dapat memberi peluang kepada mereka menunaikan ibadah tersebut.