Home Semasa Piala Dunia: Croatia lakar sejarah pertama kali ke Final

Piala Dunia: Croatia lakar sejarah pertama kali ke Final

by Air Times News Network

MOSCOW, 12 Jul – Mario Mandzukic muncul wira Croatia apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan bagi membolehkan pasukannya mengetepikan England 2-1, sekali gus menempah tiket ke pentas akhir berdepan Perancis, Ahad ini.

Penyerang Juventus itu meledak gol pada minit ke-109 untuk melengkapkan kebangkitan skuad Vatreni membolehkan Croatia, yang juga merupakan sebuah negara kecil dengan populasi penduduk sekitar 4 juta, melakar sejarah apabila mara ke final Piala Dunia buat julung kalinya.

Three Lions terdahulu seakan berpeluang menamatkan penantian gelaran juara yang kali terakhir diraihnya pada 1966 apabila sepakan bebas Kieran Trippier meletakkan England satu kaki ke final seawal minit kelima.

Bagaimanapun kelebihan tersebut tidak bertahan lama apabila Ivan Perisic meletakkan Croatia kembali ke atas trek Piala Dunia dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-68, sebelum mengheret mereka ke masa tambahan buat kali ketiga dalam tempoh 10 hari.

Perancis dilihat berpeluang cerah untuk muncul juara setelah mendapat satu hari tambahan rehat menjelang pertembungan akhir Ahad ini setelah mengatasi Belgium 1-0 semalam.

Bagaimanapun ia bukan alasan bagi Croatia, di mana negara kecil seperti Uruguay juga pernah mengatasi Brazil untuk menjuarai Piala Dunia edisi 1950.

England yang dibimbing Gareth Southgate turun dengan harapan tinggi bagi melakar sejarah baharu apabila mara ke separuh akhir buat kali pertama selepas 28 tahun.- AFP

Related Articles

Leave a Reply