Home Pertahanan dan Keselamatan Markas Pemerintahan Armada Barat terima panglima baru

Markas Pemerintahan Armada Barat terima panglima baru

by Noor Sheila Amin

IPOH, 11 Julai – Laksamana Madya Datuk Pahlawan Mohamad Adib Abdul Samad dilantik Panglima Armada Barat baharu menggantikan Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis, berkuat kuasa hari ini.

Majlis Serah Terima Tugas antara Mohamad Adib dan Abu Bakar yang memangku jawatan itu disaksikan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Serambi Markas, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Jawatan tersebut dipangku Abu Bakar bermula 29 Mei lepas apabila Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli, bekas Panglima Armada Barat ke-22 mulai bercuti untuk bersara setelah hampir 40 tahun berkhidmat bersama TLDM.

Menurut kenyataan Markas Pemerintahan Armada Barat, Mohamad Adib, 59, berkhidmat sebagai Panglima Wilayah Laut 1, selepas dilantik sebagai Panglima Udara pada 2014 hingga 2015.

Beliau yang berkhidmat dengan TLDM sejak 1978 itu pernah menghadiri Kursus Navigasi di Australia pada 1982 sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Pegawai Navigasi dan memulakan karier sebagai juruterbang helikopter TLDM setelah tamat kursus penerbangan pada 1985.

Related Articles

Leave a Reply