Home Semasa Jho Low larikan diri ke Macau

Jho Low larikan diri ke Macau

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 5 Jul – Polis mengesahkan ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah melarikan diri ke Macau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika mengesahkan perkara itu berkata ia berdasarkan laporan yang diterima pihaknya ketika menjejaki lelaki itu di Hong Kong baru-baru ini.

“Ini maklumat terbaharu yang diperoleh selepas pasukan dari Bukit Aman dihantar ke Hong Kong bagi menjejaki lelaki itu.

“Bila pasukan ini tiba di sana, kita dimaklumkan Jho Low sudah melarikan diri ke Macau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai Murni di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Mohamad Fuzi bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada pasukan itu mengunjungi kediaman Jho Low atau pejabatnya semasa di Hong Kong.

Pada 15 Jun lepas, Jabatan Imigresen telah membatalkan pasport milik ahli perniagaan itu atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan Jho Low diperlukan bagi membantu siasatan skandal 1MDB.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi mengakui perubahan besar-besaran akan dilakukan terhadap struktur pasukan polis, namun ia memerlukan sedikit masa.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu tetapi sebarang perubahan perlu perbincangan terperinci dengan pegawai di bahagian-bahagian tertentu sebelum ia dilaksanakan.

“Kita akan lakukan yang terbaik dalam tempoh terdekat ini, malah ada pegawai yang sudah diminta menghadiri bengkel tertentu untuk tujuan itu,” katanya.

Terdahulu, majlis anjuran KDN itu diserikan dengan kehadiran menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku tuan rumah selain Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Peguam Negara Tommy Thomas. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply