Home Semasa ECRL diarah gantung semua kerja serta-merta

ECRL diarah gantung semua kerja serta-merta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Jul – Kontraktor utama Projek Laluan Rel Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL), China Communications Construction Ltd (CCCC) dilaporkan telah diarahkan oleh pemilik utama projek bagi menggantung kesemua kerja melibatkan projek itu serta-merta.

Ini termasuklah semua kerja yang berkaitan kejuruteraan projek, perolehan, dan pembinaan.

Portal perniagaan The Edge Market berkata pihak mereka melihat surat bertarikh 3 Julai daripada pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) kepada CCCC yang menyatakan kepentingan negara sebagai salah satu sebab pemberhentian projek itu.

Surat itu, yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Darwis Abdul Razak, menyatakan semua kerja yang telah dibuat sehingga kini akan dilindungi dari kerosakan dan kehilangan, serta tak ada peralatan, bahan akan dialihkan daripada kawasan projek tanpa kebenaran.

Laporan The Edge Market itu juga menyatakan jurucakap MRL telah mengesahkan arahan untuk menggantung projek berkenaan.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kos sebenar ECRL adalah RM81 bilion dan jumlah itu perlu “dikurangkan” untuk membolehkan projek itu didanai.

Jumlah berkenaan bertentangan dengan jumlah RM55 bilion yang dinyatakan ketika BN menjadi kerajaan.

Rel sepanjang 688km itu, sekiranya dibina, akan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan dan akan dibina melalui dua fasa.

Related Articles

Leave a Reply