Home Politik Terima kasih ADUN BN kerana memihak kerajaan – Mukhriz

Terima kasih ADUN BN kerana memihak kerajaan – Mukhriz

by Noor Sheila Amin

ALOR SETAR, 4 Jul – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengucapkan terima kasih kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang memihak kepada kerajaan dalam pelantikan jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan Timbalannya.

Mukhriz berkata, walaupon proses pengundian dalam pemilihan Speaker itu adalah rahsia, namun pihaknya dimaklumkan undi dari tiga ADUN BN yang bertindak sebagai ‘king maker’ membolehkan jawatan Speaker dan Timbalannya dipilih daripada wakil Pakatan Harapan (PH).

Katanya, melalui proses undian dalam mesyuarat pertama sidang DUN Kedah ke-14 itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kasim dilantik sebagai Speaker, manakala ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat pula sebagai Timbalan Speaker.

“Kalau benar (undi dari ADUN BN) saya ucapkan terima kasih pada mereka tetapi saya tak boleh jamin kesahihannya, mana tahu undi itu dari PAS.

“Ini kerana proses pemilihan adalah melalui undi atas kertas yang dimasukkan ke dalam, jadi tak dapat nyatakan siapa dari kalangan pembangkang yang beri tiga undi lebihan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pertama, penggal pertama Sidang DUN Kedah Ke-14, di Wisma Darul Aman, di sini.

Tiga wakil BN yang berpihak kepada PH itu ialah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob dan ADUN Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd Noor.

Ahmad dilantik sebagai Speaker selepas memperoleh 21 undi membabitkan 18 daripada ADUN PH dan tiga ADUN BN, manakala calon Speaker daripada PAS iaitu Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi pula mendapat 15 undi.

Juhari dilantik sebagai Timbalan Speaker Kedah selepas memperoleh 20 undi, manakala calon dari PAS yang juga ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim mendapat 15 undi dengan baki satu undi diisytiharkan rosak.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan memperkasakan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan (CAT) yang dipengerusikan oleh Ahmad bagi memantapkan lagi aspek urus tadbir Kedah.

Beliau berkata, CAT akan bergerak seiring bersama-sama Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan sebarang kesalahan dalam pentadbiran boleh dilaporkan kepada jawatankuasa terbabit.

“CAT mempunyai kuasa untuk memanggil Ketua Jabatan dan Ketua Eksekutif untuk perbincangan dan mengesyorkan kepada EXCO tindakan yang boleh diambil, ” katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga akan menjemput ADUN pembangkang untuk menganggotai jawatankuasa tetap dalam setiap portfolio disandang EXCO supaya adanya semak dan imbang dalam pentadbiran.

Related Articles

Leave a Reply