Home SemasaGlobal Ribuan wanita Palestin protes di sempadan

Ribuan wanita Palestin protes di sempadan

by Noor Sheila Amin

BANDAR GAZA, 4 Jul – Ribuan wanita Palestin mengadakan tunjuk perasaan semalam di sepanjang pagar yang memisahkan Semenanjung Gaza dari Israel, tindakan besar-besaran pertama sejak bantahan meletus di sempadan tiga bulan lalu.

Sejak 30 Mac lalu, penduduk Gaza mengadakan bantahan di sepanjang sempadan dikawal ketat sebagai protes terhadap sekatan Israel berdekad lamanya di wilayah itu dan tanda sokongan mendapatkan hak Palestin pulang ke tanah dirampas ketika perang sekitar penubuhan Israel pada 1948.

Semalam, wanita terbabit tiba dengan menaiki bas dari seluruh wilayah terkepung itu, ramai ditemani anak-anak mereka, kata koresponden AFP.

Laporan berkata, wanita berkenaan bergerak secara berkumpulan pada jarak 50 meter dari pagar yang memisahkan Semenanjung Gaza dan jajahan Israel.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qodra berkata, 17 orang cedera akibat terkena tembakan Israel.

“Saya datang untuk menghabiskan perarakan yang dimulakan anak perempuan saya. Bantahan ini dilakukan secara aman. Kami hanya mempertahankan tanah dan hak kami,” kata Rim Abu Irmana, memaparkan gambar anak perempuannya, Wasal, 15, yang dibunuh tentera Israel 14 Mei lalu.

Sejak bantahan dan pertembungan meletus di sepanjang sempadan Gaza akhir Mac lalu, sekurang-kurangnya 138 penduduk Palestin maut akibat ditembak rejim Zionis. -AFP

Related Articles

Leave a Reply