Home SemasaGlobal Mangsa terperangkap perlu berjuang demi kesihatan

Mangsa terperangkap perlu berjuang demi kesihatan

by Noor Sheila Amin

PARIS, 4 Jul – Lemah akibat sembilan hari tanpa makanan, 12 budak lelaki dan jurulatih bola sepak perlu berjuang untuk menentang ancaman kesihatan kata Mike Tipton, pakar kesan persekitaran ekstrem terhadap tubuh manusia, dari Universiti Portsmouth.

Namun kelangsungan hidup kumpulan itu pada akhirnya bergantung kepada kekuatan mental berbanding fizikal, tidak hilang harapan ketika penyelamat menentukan bagaimana mengeluarkan mereka dari gua gelap, lembap, satu proses yang mengambil masa beberapa minggu atau malah bulan.

“Sisi mental insiden ini adalah satu daripada pertimbangan utama,” kata Andrew Watson, seorang penyelamat yang berpengalaman membebaskan pekerja lombong akibat banjir atau kebakaran.

Kelmarin, penyelam akhirnya sampai ke gua yang menempatkan pemain bola sepak itu berusia antara 11 dan 16 tahun bersama jurulatih mereka, kesemuanya kelaparan dan kusut masai namun menakjubkan masih hidup.

Walaupun merasa gembira selepas ditemui pada awalnya, kanak-kanak itu dan penjaga mereka bagaimanapun perlu menerima hakikat terpaksa berada lebih lama ketika penyelamat menimbangkan pelbagai pilihan.

Paling selamat adalah menunggu air banjir yang memerangkap kumpulan itu surut. Satu lagi ialah mengajar mereka melakukan selaman berbahaya sendiri, namun penyelam terlatih sendiri mengambil masa enam jam untuk mengemudi laluan air berlumpur dan berbahaya ke dalam gua.

“Ketidaktentuan adalah bila dan bagaimana mereka mungkin diselamatkan mula bermain-main di fikiran,” kata Neil Greenberg, seorang pakar gangguan tekanan pasca trauma di King’s College London kepada AFP.

“Apabila penyelam berjaya menemui mereka, kanak-kanak itu beranggapan proses itu mudah. Mereka dapat masuk, mengapa saya tidak boleh keluar?

“Ia bergantung kini bagaimana mereka berkomunikasi situasi itu kepada kanak-kanak. Anda perlu memberitahu mereka keadaan sebenar kerana mereka perlu memahami, ia adalah proses sukar yang memerlukan kesabaran. Kemungkinan banyak kesabaran,” tambah Watson, seorang pengarah komersial di Perkhidmatan Menyelamat Lombong UK.

Dari segi fizikal, keutamaan ialah memulihkan dan menghidrasi semula kumpulan itu bagi membina kekuatan mereka yang hilang.

Bagi , hakikat bahawa kanak-kanak itu berlindung dalam gua selama sembilan hari menunjukkan, tiga kunci utama kelangsungan hidup adalah oksigen, suhu sesuai dan air boleh diminum.

Katanya, sebaik kumpulan itu mula makan, mereka memerlukan sanitasi selamat bagi memastikan najis dihanyutkan dan tidak mencemarkan air minum.

Tipton berkata, air banjir itu sendiri mungkin tercemar dengan kumbahan atau haiwan mati. Satu lagi kebimbangan ialah: “Berapa banyak ruang yang mereka ada?”.

Related Articles

Leave a Reply