Home Pertahanan dan Keselamatan Nasib veteran, Zamri Osman terbela

Nasib veteran, Zamri Osman terbela

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 1 Jul – “Alhamdullilah, saya dimaklumkan bayaran pencen dimulakan bulan ini (Julai) selepas pindaan terhadap pemberhentian dilakukan Kementerian Pertahanan.

“Selepas ini dapatlah saya bantu memberikan nafkah kepada keluarga, sekali gus meringankan beban isteri yang bertungkus-lumus mencari rezeki berikutan saya tidak dapat bekerja akibat masalah sakit tulang belakang,” kata bekas tentera Zamri Osman, 36.

Menurutnya, selepas kisahnya disiarkan Harian Metro pada 22 Jun lalu, beberapa pegawai Kementerian Pertahanan menghubunginya bagi mendapatkan maklumat lanjut seterusnya membantu menyelesaikan masalah berkaitan bayaran pencen yang belum diperoleh selepas ditamatkan perkhidmatan dua tahun lalu.

Zamri kini menetap di Bandar Puteri, Kuantan, Pahang berkata, hasil penilaian dan semakan dilakukan Kementerian Pertahanan memutuskan dia sebenarnya layak mendapat pencen dan ganjaran perkhidmatan.

Dia dan keluarga turut berterima kasih di atas keperihatinan pihak Kementerian Pertahanan dan semua pihak yang terbabit antaranya pihak Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Jabatan Arah Artileri, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK), Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) serta Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).

“Segala kesulitan dan penantian kami sekeluarga akhirnya mendapat perhatian pihak kementerian. Sekarang ini saya menunggu semakan dilakukan BPK sebelum memutuskan layak terima terima faedah hilang upaya atau Ex-Gratia atau sebaliknya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply