Home Semasa Kementerian Pembangunan Wanita ambil serius isu perkahwinan bawah umur

Kementerian Pembangunan Wanita ambil serius isu perkahwinan bawah umur

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius akan isu perkahwinan remaja bawah umur dengan seorang lelaki berusia 41 tahun. Isu tersebut telah timbul apabila tularnya perkahwinan kedua-dua individu terbabit pada 29 Jun lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, pihak KPWKM mendapati kanak-kanak berusia 11 tahun tersebut adalah berasal dari negara jiran, Thailand.  Siasatan turut mendapati perkahwinan telah diadakan pada bulan Jun 2018 di Golok Thailand. Persetujuan antara ibu bapa dan suami adalah supaya kanak-kanak ini hanya akan tinggal bersama si suami setelah kanak-kanak tersebut mencapai umur 16 tahun.

Semasa kenyataan dikeluarkan, pihak KPWKM menyatakan tiada sebarang rekod sama ada di Mahkamah ataupun Pejabat Agama Gua Musang yang membenarkan perkahwinan ini. Pendaftaran perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan yang dimohon oleh pasangan dan ahli keluarga tanpa unsur paksaan dan secara sukarela.

Pihak KPWKM bertegas bahawa Malaysia menolak perkahwinan paksa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang melakukan perkara yang keji itu. Jika bapa atau datuk menikahkan kanak-kanak yang di bawah umur minimum untuk berkahwin menurut undang-undang tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Mahkamah Syariah, maka itu tindakan yang menyalahi peruntukan Seksyen 40 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Undang-undang Syariah di negeri negeri lain juga mempunyai peruntukan yang sama mengenai umur minimum bagi perkahwinan.

KPWKM  yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanakmemandang serius akan isu perkahwinan bawah umur memandangkan pasangan muda tersebut mempunyai risiko dari segi kesediaan fizikal dan penceraian di peringkat awal perkahwinan.

Menyedari akan hakikat tersebut, pihak KPWKM berhasrat untuk berbincang dan bekerjasama dengan majlis-majlis agama bagi meneliti dan memperketatkan undang-undang supaya dapat terus membanteras isu perkahwinan bawah umur.

KPWKM melalui Majlis Kebangsaan Kanak-Kanak telah menubuhkan satu ‘task force’ yang terdiri daripada majlis-majlis agama negeri, agensi kerajaan yang berkaitan, ahli akademik dan aktivis kanak-kanak untuk bekerjasama dan meneliti isu tersebut.

Antara perkara yang dicadangkan oleh pihak KPWKM ialah kemungkinan untuk mensyaratkan penyediaan dua jenis laporan iaitu laporan kesihatan oleh doktor perubatan (psikologi) dan laporan sosial oleh pegawai pelindung. Kedua-dua laporan ini mungkin dapat membantu Hakim Syarie (untuk kes orang Islam),

Menurut KPWKM, Ketua Adat dan YAB Ketua Menteri/Menteri Besar/ Menteri Wilayah Persekutuan seperti yang dinyatakan di bawah subseksyen 21(2), Undang-Undang Adat, Akta 164 (untuk kes orang bukan Islam) membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum memberi kelulusan untuk perkahwinan bawah umur.

Pihak kementerian turut mengambil pendirian bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya. Sebarang aktiviti yang mungkin membantutkan perkembangan mereka terutamanya dari segi pendidikan dan perubatan harus ditegah supaya mereka dapat mengejar masa hadapan yang lebih luas dan cerah.

Perkahwinan bawah umur akan memberi cabaran meliputi tekanan daripada segi fizikal dan mental yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, pendidikan, dan kewangan terhadap seorang kanak-kanak.

Ia bukan sahaja membebankan kanak-kanak tersebut malah mereka belum bersedia dengan tanggungjawab berat ini, dikhuatiri ia membuka lebih ruang berlaku perceraian pada usia muda dan masalah-masalah sosial yang lain.

Related Articles

Leave a Reply