Home Semasa Badi Juara Piala Dunia: Jerman tersingkir

Badi Juara Piala Dunia: Jerman tersingkir

by M.Daim

KAZAN, 28 Jun – Ibarat sumpahan kepada mana-mana juara bertahan Piala Dunia untuk tersingkir awal pada edisi berikutnya, Jerman tersingkir dari persaingan Piala Dunia pada peringkat kumpulan.

Kekalahan 2-0 kepada wakil Asia, Korea Selatan dalam perlawanan malam tadi sekaligus mengimbau kembali mimpi ngeri skuad Die Mannschaft pada tahun 1938. Kedua-dua jaringan tersebut dilakukan pada minit-minit akhir perlawanan.

Jaringan pertama Korea Selatan dijaringkan oleh Kim Young-gwon pada minit ke-94 perlawanan. Pada minit ke-96, Son Heung-min menambah duka buat skuad Eropah itu dengan jaringan ke-2 sebelum wisel penamat ditiupkan.

Jurulatih Jerman, Joachim Löw enggan mengulas laporan yang menyatakan kemungkinan beliau untuk meletak jawatan sebagai jurulatih akibat kekalahan Jerman dalam Piala Dunia 2018. Beliau telah menandatangani kontrak untuk melatih Jerman sehingga tahun 2022 pada Mei lalu.

Walaupun menang keatas Jerman, Korea Selatan turut tersingkir dari persaingan dalam Kumpulan F.

Dalam perkembangan lain, Sweden dan Mexico telah melayakkan diri ke pusingan kalah mati. Dalam perlawanan tersebut, Sweden telah meraih kemenangan 3-0 ke atas Mexico.

Jaringan pertama telah disumbangkan oleh Ludwig Augustinsson oleh pada minit ke-51.

Sweden terus memberi tekanan buat lawan apabila Andreas Granqvist menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62 selepas pengadil mendapati Marcus Berg dikasari Hector Moreno.

Malang semakin bertambah buat Mexico apabila pemainnya, Edson Alvarez menjaringkan gol sendiri pada minit ke-74.

Walaupun tewas kepada Sweden, kedua-dua pasukan telah layak ke pusingan seterusnya selepas Sweden mendahului carta kumpulan dengan kelebihan jaringan gol berbanding Mexico namun kedua-duanya mempunyai kelebihan tiga mata daripada Jerman dan Korea Selatan.

Related Articles

Leave a Reply