Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Australia setuju keganasan jadi ancaman utama

Malaysia, Australia setuju keganasan jadi ancaman utama

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Isu keganasan dibincangkan antara menteri pertahanan Malaysia dan Australia pada mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) di Pulau Pinang semalam, di mana ia masih menjadi kebimbangan di kedua-dua negara.

Mesyuarat yang akan menjadi acara tahunan dan akan diadakan di Australia tahun depan, juga menandakan ulang tahun ke-60 kehadiran Australia di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan bersama, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan rakan sejawatnya dari Australia, Marise Payne bersetuju bahawa keganasan menjadi kebimbangan utama di rantau ini, termasuk kedatangan semula pengganas asing dari negara-negara bergolak.

Mohamad dan Payne mengutuk keganasan dan mengulangi komitmen kedua-dua negara untuk bekerjasama membanteras ancaman keganasan.

Malaysia dan Australia juga akan mengenal pastu cara bagi mengukuhkan kerjasama secara dua atau pelbagai hala.

Kedua-dua menteri pertahanan berkenaan juga mengesahkan komitmen mereka kepada Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) sebagai bahagian integral daripada asas keselamatan di rantau ini.

FPDA merupakan rangkaian hubungan pertahanan yang ditubuhkan oleh perjanjian pelbagai hala antara negara-negara Komanwel iaitu Malaysia, Australia, Singapura, New Zealand dan United Kingdom pada 1971. – 25 Jun, 2018.

Related Articles

Leave a Reply