Home Pertahanan dan Keselamatan Pelihara keamanan, kesejahteraan negara untuk generasi seterusnya

Pelihara keamanan, kesejahteraan negara untuk generasi seterusnya

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru untuk terus mengekalkan kesinambungan ATM dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan negara agar dinikmati oleh generasi seterusnya, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata pengorbanan yang diberi oleh setiap warga ATM terhadap rakyat dan negara tidak dapat dinilai dengan pingat dan seumpamanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, ATM sentiasa meletakkan kepentingan perkhidmatannya melebihi segala-galanya dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Sepanjang 42 tahun saya berkhidmat dalam ATM, saya amat berbangga dengan warga ATM mempunyai harga diri dan jati diri kukuh yang mampu menjadi benteng daripada segala anasir-anasir luar yang boleh mengganggu-gugat keamanan.

“Ini terbukti dengan pengiktirafan yang diterima daripada dunia luar kepada ATM sendiri yang disegani, dihormati dan ditakuti lawan dan kawan,” katanya selepas hadir ke Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke-19, di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini.

Beliau berharap kesatuan yang ditunjukkan ATM selama ini sentiasa kekal utuh dan berdisiplin walaupun kepimpinan ATM yang diterajuinya sejak 2016 akan bertukar tangan.

Perbarisan berkenaan bertujuan bagi meraikan persaraan Raja Mohamed Affandi sebagai Panglima ATM yang berkuat kuasa hari ini.

Raja Mohamed Affandi, 60, dilantik menjadi Panglima ATM pada Disember 2016 dan pernah menjawat Ketua Angkatan Tentera Malaysia sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 14 Jun 2013.

Dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja sebelum menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail.

Beliau kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977. 

Related Articles

Leave a Reply