Home SemasaGlobal India mula terima Rafale pada 2019

India mula terima Rafale pada 2019

by M.Daim

NEW DELHI, 11 Jun – Panglima Tentera Udara India (Indian Air Force, IAF), Air Chief Marshal Birender Singh Dhanoa menyatakan India akan mula menerima jet pejuang Rafale mulai tahun 2019.

Perkara tersebut dinyatakan dalam satu wawancara khas yang dikendalikan oleh The Week.

Beliau memperakui bahawa IAF menghadapi masalah kekurangan jet pejuang dan bilangan skuadron jet pejuang yang semakin berkurangan.

Dhanoa menambah, IAF akan mencapai matlamat paras minimum 42 skuadron pada tahun 2032. Pada ketika ini, India mempunyai 31 skuadron jet pejuang, yang merupakan bilangan di bawah paras minimum.

Bilangan 42 skuadron adalah untuk menghadapi kemungkinan situasi perperangan di dua garisan hadapan; sebagaimana doktrin yang telah diterapkan oleh India berdasarkan konflik sebelum ini.

Dhanoa menyatakan, walaupun 31 skuadron adalah melebihi bilangan skuadron Tentera Udara Pakistan iaitu 25 skuadron, beliau menyatakan China mempunyai kira-kira 60 skuadron tempur.

Menurut beliau, perolehan Rafale adalah tepat dan tidak terlalu mahal seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak di parlimen India. India telah membeli sebanyak 36 buah jet pejuang Rafale dari Perancis dan mula menerima jet pejuang tersebut pada September 2019 sehingga April 2022.

Selain daripada itu, India sedang giat menaik taraf jet pejuang MiG-29, Jaguar dan Mirage-2000. Program tingkat upaya dijalankan secara berfasa sebagai langkah untuk menangani keusangan aset.

Pada masa yang sama, perolehan Su-30MKI dari Hindustan Aeronautics Limited akan lengkap pada 2020, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 272 buah.

Kekurangan skuadron tempur IAF turut diisi oleh program Jet Tempur Ringan (Light Combat Aircraft – LCA) buatan India, Tejas. Pada ketika ini, India sedang dalam proses untuk menerima kesemua 40 buah jet pejuang Tejas. Selain daripada itu, IAF merancang untuk memperolehi sebanyak 83 buah LCA Mk1A.

Dalam masa hadapan, India akan memperkukuhkan lagi skuadronnya dengan perolehan LCA Mk2 yang dikenali sebagai program jet tempur sederhana (Medium Weight Fighter, MWF).

Related Articles

Leave a Reply