Home Semasa Polis KL lancar ‘Team Ninja’ ronda cegah jenayah

Polis KL lancar ‘Team Ninja’ ronda cegah jenayah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Polis Kuala Lumpur melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) “Team Ninja” bagi memudahkan rondaan cegah jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan pantas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pasukan berkenaan terdiri daripada 52 pegawai dan anggota yang akan menggunakan motosikal jenis Kawasaki Scrambler KLX 250 bagi melakukan rondaan secara bergilir-gilir setiap hari.

Team Ninja beroperasi di kawasan panas yang sering berlaku kes jenayah termasuk di kawasan perumahan, pusat perniagaan, kawasan perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

“Kadang-kadang URB sedia ada tidak boleh masuk tempat sempit-sempit atau lorong… Team Ninja gunakan scrambler ia lebih ringan dan mudah untuk kejar penjenayah,” katanya selepas melancarkan “Team Ninja” di Jalan Esfahan,di ibunegara semalam.

Pada majlis itu, Mazlan turut melancarkan Ops Selamat ke-13 sempena perayaan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan mengagihkan kira-kira 100 bungkusan juadah berbuka kepada orang awam termasuk pasukan petugas terdiri daripada anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam.

Mengenai Ops Selamat, beliau berkata seramai 199 anggota trafik termasuk 14 pegawai akan ditempatkan di 10 lokasi bagi mengurangkan risiko kemalangan berlaku.

Sepuluh lokasi berkenaan ialah Jalan Kepong, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Lebuhraya Seremban, Jalan Sentul, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Connought dan Jalan Sungai Besi.

Sejumlah 270 anggota URB akan bertugas pada Ops Selamat di kawasan-kawasan perumahan termasuk kawasan perniagaan, kawasan perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Related Articles

Leave a Reply