Home Semasa Ekstradisi Dr Zakir Naik: India tunggu jawapan Malaysia

Ekstradisi Dr Zakir Naik: India tunggu jawapan Malaysia

by M.Daim

NEW DELHI, 8 Jun – Kerajaan India sedang menanti jawapan dari kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi presiden Islamic Research Foundation (IRF), Dr Zakir Naik.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Kementerian Luar Negeri India dalam satu sidang media yang diadakan di New Delhi Semalam.

Media India memetik jurucakap Kementerian Luar India Raveesh Kumar yang menyatakan Malaysia dan India mempunyai perjanjian ekstradisi dan kerajaan India telah menyampaikan permohonan ekstradisi penceramah terkenal itu.
“Kami sedang menunggu jawapan Malaysia,” kata Raveesh.

Beliau menambah, persediaan proses perundangan untuk mendakwa Dr Zakir Naik hampir siap.

Pada awal Mac lalu, kerajaan India telah memohon ekstradisi Dr Zakir Naik kerana atas dakwaan mendorong generasi muda terlibat dalam kegiatan pengganas, selain menyampaikan ceramah yang mencetuskan kebencian.

Agensi Penyiasatan Nasional India (NIA) memfailkan kertas pertuduhan terhadap ulama kontroversi itu pada tahun lalu. Kertas yang mempunyai 58 helaian itu menuduh Zakir terlibat dalam pelbagai tindakan dan mengganggu keharmonian komuniti negara itu.

Beliau juga dituduh mengagihkan dana kepada kegiatan anti-India.

Pada Julai 2017, Dr Zakir Naik ini telah diisytiharkan sebagai pesalah oleh mahkamah khas dan susulan itu NIA memulakan proses untuk membekukan asetnya mengikut undang-undang.

Pada 18 November 2016, NIA telah membuat laporan melibatkan kes jenayah terhadap Zakir di Mumbai, merangkumi pelbagai seksyen dalam Kanun Keseksaan India dan Akta Kegiatan Menyalahi Undang-Undang (Pencegahan).

Pada masa sama, kerajaan India telah mengisytiharkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang diasaskan Zakir sebagai tidak sah.

Berikutan itu juga, NIA telah menyerbu pejabat, sekolah dan premis saluran televisyen persendirian yang kemudiannya telah ditutup. Dr Zakir Naik didakwa bergerak aktif di antara Malaysia dan Arab Saudi. Malah, beliau turut didakwa diberikan kerakyatan tetap di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply