Home Semasa Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 diberhentikan serta merta

Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 diberhentikan serta merta

by M.Daim

Putrajaya, 7 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memutuskan untuk memberhentikan siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang sedang dijalankan oleh pihak Jemaah Nazir & Jaminan Kualiti (JNJK), berkuatkuasa serta merta.

Menurut siaran media oleh Kementerian Pendidikan, bagi membantu pihak pengurusan sekolah memantapkan penggunaan SKPMg2 dengan berkesan, JNJK akan meneruskan sesi latihan dan bimbingan yang diperlukan.

Dokumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dihasilkan untuk memastikan kelangsungan transformasi pendidikan negara selaras dengan keperluan  pendidikan bertaraf global. Penghayatan dan pembudayaan SKPMg2 dapat menjadi pemangkin untuk merealisasikan aspirasi pendidikan negara serta memartabatkan
kecemerlangan pendidikan negara.

SKPMg2 yang terdiri daripada lima standard iaitu kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal pelajar, pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dan kemenjadian murid telah dilaksanakan di semua sekolah.

Namun, audit untuk verifikasi pengisian data SKPMg2 bagi tahun 2017 telah menimbulkan salah faham dan kegelisahan dalam kalangan guru.

Standard penilaian kualiti sekolah mula diperkenalkan pada tahun 2001 dengan menggunakan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP). STKP ini disemak dan digubal semula pada tahun 2003 dan dinamakan sebagai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

Kandungannya ditambahbaik pada tahun 2010 dengan jenama Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010). Seterusnya dokumen ini telah disemak semula dan dikenali sebagai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang mula dilaksanakan pada bulan Mac 2017

Related Articles

Leave a Reply