Home Pertahanan dan Keselamatan Pesara tentera sambut baik Tommy Thomas sebagai peguam negara – PATRIOT

Pesara tentera sambut baik Tommy Thomas sebagai peguam negara – PATRIOT

by Nurulhuda

PETALING JAYA, 5 Jun – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang mewakili veteran tentera mengalu-alukan pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara baru dan mengkritik pihak menentang pemilihannya atas alasan kaum serta agama.

Presidennya, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji menyifatkan bantahan terhadap pelantikan Thomas kerana beliau ialah orang India dan beragama Kristian ialah pemikiran sempit serta rasis yang tiada tempat dalam Malaysia hari ini.

Katanya, Thomas diiktiraf ramai sebagai pakar Perlembagaan, peguam berpengalaman dan dihormati.

“(Faktor) bukan Melayu dan Islam tidak patut dijadikan kriteria pelantikan atas alasan undang-undang, prinsip dan etika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dilapor memperkenankan pelantikan Thomas sebagai peguam negara, selepas menamatkan perkhidmatan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Arshad berkata, sebarang kelewatan dalam melantik peguam negara baru akan menjejaskan kerja yang perlu diselesaikan susulan penukaran kerajaan.

“Dengan begitu banyak yang perlu dilakukan dalam masa singkat, mereka yang tiada ketakutan dan tidak melakukan sebarang kesalahan, tidak harus menghalang pelantikan peguam negara baru seperti dicadangkan perdana menteri dan Kabinetnya.”

Oleh itu, beliau meminta semua pihak berfikiran sebagai rakyat Malaysia dan bersatu menghadapi cabaran serta membina semula negara dengan menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan baru pimpinannya.

Katanya, Patriot tidak mementingkan warna kulit dan memberi layan sama rata kepada semua, serta mereka sedia berkorban untuk negara atas arahan komander tidak kira beliau ialah orang Melayu, Cina, India, Sikh atau Iban.

Related Articles

Leave a Reply