Home Semasa Bonda Sultan Johor Mangkat

Bonda Sultan Johor Mangkat

by Noor Sheila Amin

Johor Bharu, 2 Jun – Bonda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar iaitu Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah, telah kembali ke rahmatullah semalam.

Menerusi kenyataan dimuat naik laman rasmi Johor Southern Tigers (JST), awal pagi ini, laman rasmi itu menyatakan ucapan takziah kepada seluruh kerabat Diraja Johor.

“Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor atas kemangkatan Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Jun 2018. Al-Fatihah,” menurut kenyataan dimuat naik dalam JST, hari ini.

Awal pagi tadi juga Instagram milik anakanda Sultan Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, memuat naik gambar hitam putih bersama Almarhum nendanya dengan kenyataan ‘1st June, Jumaat. Al-Fatihah. Will miss you Tok’.

Bagaimanapun, masih belum ada kenyataan rasmi daripada Istana Johor atau Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim, berhubung perkara itu.

Sementara itu, BERNAMA memetik pengesahan disahkan Johor Royal Press Office (RPO) sebentar tadi yang melaporkan, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah, 83, mangkat semalam di London.

“Dukacita dimaklumkan bahawa Enche’Besar Hajah Khalsom Abdullah, bonda Sultan Johor telah mangkat di London, kenyataan mengenai pengebumian akan dimaklumkan oleh Jumaah Majlis Diraja Johor,” menurut kenyataan ringkas RPO.

Adinda Sultan Johor, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengesahkan kemangkatan itu menerusi laman Facebook baginda hari ini.

“Innalillahwainnailaihirojiun…ibu saya Hajah Khalsom baru kembali ke rahmatullah…al-Fatihah,” catatTengku Puan Pahang.

Laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut memuat naik ucapan salam takziah atas kemangkatan bonda baginda.

Related Articles

Leave a Reply