Home Semasa Peguam Negara akan didakwa?

Peguam Negara akan didakwa?

by Pasri Asyraf

SHAH ALAM, 29 Mei 18 – Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin membangkitkan satu persoalan sama ada Peguam Negara era kerajaan BN boleh didakwa kerana tidak mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Peguam Negara berkenaan Najib tidak melakukan kesalahan dalam kes pemindahan RM42 juta daripada anak syarikat 1MDB iaitu SRC International kepada bekas perdana menteri tersebut.

Bagaimanapun, Mohamed Hanipa tidak berhasrat untuk membuat sebarang spekulasi berhubung nasib yang bakal diterima Peguam Negara berkenaan.

“Adapun isu adakah beliau juga wajar didakwa, saya tidak mahu membuat spekulasi.

“Namun, jika diandaikan Peguam Negara yang baharu nanti memutuskan akan mendakwa bekas Perdana Menteri BN di mahkamah bagi kes pemindahan RM42 juta tersebut, saya rasa berkemungkinan besar Peguam Negara itu (era BN) juga berdepan risiko yang besar untuk didakwa dengan pertuduhan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Hanipa menyatakan di bawah Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, seorang Peguam Negara ada budi bicara untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang atas sesuatu kesalahan jenayah.

“Namun seperti mana titah Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam kes Sri Lempah Enteprise tidak wujudnya budi bicara mutlak kerana ‘absolute discretion is a contradiction in terms’

“Lagipun, jika budi bicara itu dilihat telah secara sengaja disalahgunakan bagi melindungi seorang penjenayah yang jelas melakukan jenayah, saya tidak fikir budi bicara tersebut boleh melindungi hatta seorang Peguam Negara.

Namun beliau enggan berspekulasi sebaliknya meminta seluruh rakyat sama-sama tunggu tindakan Peguam Negara yang baharu kelak.

Tambahnya, sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (Harapan) mendesak agar Peguam Negara tersebut meletakkan jawatan secara terhormat daripada dipecat.

Terdahulu, Peguam Negara lantikan BN berkata tidak ada bukti penyalahgunaan wang 1MDB daripada mana-mana penyiasatan agensi penguatkuasaan undang-undang membabitkan pelbagai bidang kuasa.

Malah katanya, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) mengambil perhatian mengenai tindakan undang-undang sivil terbaharu oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Related Articles

Leave a Reply