Home Pertahanan dan Keselamatan Hargai pengorbanan anggota tentera – Raja Muda Perlis

Hargai pengorbanan anggota tentera – Raja Muda Perlis

by Nurulhuda

KUDAT, 27 Mei – Pengorbanan anggota tentera menjaga keselamatan negara bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan aman dan selamat haruslah dihargai oleh semua rakyat, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah mereka menjaga keselamatan negara pada setiap masa dengan semangat juang dan ketahanan diri yang mantap dan tinggi.

“Tugas ini amat mulia di sisi agama dan disanjung rakyat kerana keamanan dan keselamatan adalah dua perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Komitmen setiap anggota tentera ini bertujuan memastikan anasir tertentu yang mahu menceroboh negara dapat dihapuskan atau dipatahkan,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda yang juga Komander 504 Askar Wataniah Berpengkalan di Bukit Ketri, Padang Besar, Perlis bertitah demikian selepas majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di atas kapal Auxilliary Bunga Mas 5 di perairan Kudat di sini, malam tadi.

Pada sebelah siang sebelumnya, Tuanku Syed Faizuddin yang mengetuai delegasi 25 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Perlis dalam lawatan ke Sabah sempena Op Pasir 2018 telah melawat empat pulau yang menempatkan pos pasukan keselamatan.

Baginda yang meluangkan masa hampir satu jam masing-masing di Pulau Mandi Darah; Pulau Tigabu; Pulau Malawi dan Pulau Balambangan turut menyampaikan sumbangan kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas itu.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengawasan di perairan dan juga di pulau-pulau di negeri ini merupakan operasi yang dapat memperkukuhkan situasi atau keadaan keselamatan secara keseluruhannya di kawasan tanggungjawab.

“Insya-Allah saya yakin pengawasan ini dapat menghindarkan segala usaha oleh elemen-elemen atau anasir-anasir tertentu untuk menguasai kawasan perairan negara di Timur Sabah ini,” titah baginda.

Related Articles

Leave a Reply