Home PolitikBarisan Nasional Bekas Adun Serom, enam ketua Umno cawangan keluar parti

Bekas Adun Serom, enam ketua Umno cawangan keluar parti

by Nurulhuda

TANGKAK, 27 Mei  – Bekas Adun Serom, Dr Abdul Razak Minhat bersama enam lagi ketua Umno cawangan dalam Parlimen Ledang mengumumkan untuk keluar parti, semalam.

Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai Jaya, Abd Hamid A Majid berkata, masyarakat di kawasan mereka masih memerlukan bantuan dan sokongan serta peruntukan daripada kerajaan bagi menambah baik dan memenuhi keperluan semasa.

Menurutnya, beliau juga tidak memaksa ahli-ahli di cawangan terlibat mengikut langkah mereka namun menegaskan perancangan terhadap kawasan akan lebih mudah jika kesemua menyokong pimpinan kerajaan pada hari ini.

“Kami pendukung demokrasi akur dan menerima keputusan PRU14 dengan hati terbuka dan pada masa sama berlapang dada serta bersedia menyokong dan memberi kerjasama kepada kerajaan hari ini.

“Ketika ini, kami belum bercadang menyertai mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan tetapi sedia menerima tawaran untuk jadi ahli selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak menafikan beliau mengambil tindakan itu kerana kecewa akibat tidak dicalonkan mempertahankan Dun Serom pada PRU14.

“Tidak ada soal kecewa, tak suka atau sebagainya tetapi sama seperti rakan-rakan lain saya menyokong prinsip demokrasi demi penyatuan dan pembangunan masyarakat di akar umbi,” katanya.

Selain Abd Hamid dan Abdul Razak yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Simpang 4, turut membuat keputusan keluar parti ialah ketua Umno Cawangan Kampung Datuk Ngah; Kampung Seri Menanti; Taman Sri Jaya; Kampung Sungai Rambai dan Kampung Parit Ghani.

Related Articles

Leave a Reply