Home Semasa 11 perkara utama perlu diberi perhatian – PVATM Sarawak

11 perkara utama perlu diberi perhatian – PVATM Sarawak

by Noor Sheila Amin

SIBU, 24 Mei – 11 perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh Menhan, YB Mohamad Sabu adalah perkara yang diusulkan oleh Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) Sarawak.

Menurut Presiden PVATM Sarawak, Thomas Ling memaklumkan sebanyak 11 perkara utama yang harus diberi perhatian di mana pihaknya turut menulis surat rasmi kepada Mohamad Sabu untuk pertimbangan dan tindakan.

“Pada 2016, kita telah mengadakan perbincangan meja bulat dengan tiga persatuan veteran di Semenanjung Malaysia tentang 11 perkara tersebut.

“Selepas itu, kami menghantar petisyen kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai perkara tersebut, malangnya kami tidak pernah menerima sebarang maklum balas daripada beliau,” katanya semasa mengadakan sidang media di sini, semalam.

Menurut Ling, beliau kini meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) yang telah berjaya membentuk kerajaan baharu.

Katanya, permohonan untuk 11 perkara tersebut bukan sahaja untuk manfaat 20,000 bekas anggota tentera di negeri ini, malah untuk keseluruhan 400,000 bekas tentera di negara ini.

Perkara pertama membabitkan pembinaan sebuah hospital Angkatan Tentera (ATM) di negeri ini. “Terdapat enam hospital ATM di Semenanjuang tetapi tiada satu pun di Sarawak.

“Kami mahu hospital itu dibina di Sibu yang merupakan zon tengah negeri ini memandangkan lokasinya mudah dilawati para veteran dari seluruh pelosok negeri,” katanya.

PVTM juga mahu kerajaan melantik seorang senator antara veteran tentera di negeri ini bagi membantu membangkitkan isu mengenai kebajikan veteran tentera, termasuk tentang kekurangan pengambilan penduduk Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

“Kita juga menuntut supaya pejabat hal ehwal veteran ATM ditubuhkan di setiap bahagian di negeri ini memandangkan ketika ini hanya terdapat tiga pejabat iaitu di Kuching, Sibu dan Miri,” ujar beliau sambil menambah, pihaknya turut meminta kementerian menambah kuota pengambilan rakyat di negeri ini untuk memasuki perkhidmatan ATM memandangkan Sarawak merupakan negeri yang luas.

Ling menambah, antara lain perkara yang perlu diberi perhatian dan tindakan ialah peruntukan tetap untuk dana persatuan veteran, penyediaan peluang pekerjaan untuk vete-ran dan meluluskan bantuan sara hidup untuk veteran yang berusia 60 tahun ke atas.

Katanya, PVTM turut memohon kerajaan menaikkan sebanyak 20 peratus pencen veteran yang bersara antara 1969 hingga 2013 untuk merapatkan jurang penerimaan pencen.

Beliau berkata, ini kerana terdapat perbezaan yang besar dalam gaji veteran tentera dalam tempoh tersebut dengan tentera masa kini.
Permintaan lain adalah memberi elaun bulanan khusus kepada veteran yang berkhidmat semasa tempoh darurat antara 1969 hingga 1989, meneruskan Bantuan Bakti Negara serta memansuhkan atau mengurangkan bayaran hutang semasa berkhidmat dalam ATM.

Sebelum itu beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang baharu, selain turut meminta supaya permohonan yang dikemukakan sebelum ini diberi perhatian.

Presiden PVTM Sarawak Thomas Ling berkata, seperti rakan sejawatan mereka di Semenanjung, persatuan itu merupakan sebuah entiti politik yang menyokong kerajaan.

Related Articles

Leave a Reply