Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut TLDM, Tentera Laut Amerika anjur program jiwa murni

TLDM, Tentera Laut Amerika anjur program jiwa murni

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 23 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama Angkatan Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika melawat Hospital Queen Elizabeth (HQE1) sebagai sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan angkatan tentera.

Pembantu Perubatan Menyelam Almudi Eskal berkata lawatan itu adalah sebahagian daripada inisiatif program jiwa murni TLDM bagi memupuk ikatan silaturahim di antara anggota tentera laut dan orang awam.

Katanya kerjasama dengan pihak Tentera Laut Amerika juga dilihat sebagai satu integrasi antara pasukan tentera. “Ini sebahagian daripada langkah mewujudkan hubungan baik bukan sahaja di antara pihak TLDM dan Tentera Laut Amerika malah terhadap orang awam dan hari ini kita laksanakan di HQE1 sendiri.

“Ini adalah lawatan pertama kita dalam pelaksanaan program jiwa murni dan selepas ini kita akan laksanakan lebih banyak program seumpama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Program Keagamaan Armada Ketujuh, Nino Miranda berkata projek perhubungan antara masyarakat adalah salah satu inisiatif yang wajib dilaksanakan setiap kali mengunjungi pelabuhan negara lain.

Katanya ia juga dapat meningkatkan pengetahuan serta imej mereka mengenai masyarakat melalui perkongsian maklumat serta bantuan yang dilaksanakan.

“Bagi kami, bantuan amal yang dilaksanakan kepada masyarakat adalah satu penghormatan selain salah satu cara untuk memberikan kembali sokongan masyarakat terhadap penugasan ketenteraan.

“Selepas lawatan ini, kita juga melaksanakan pelbagai aktiviti amal termasuk lawatan ke rumah anak yatim dengan pengisian program termasuk sukan serta aktiviti mewarna,” katanya.

Tentera laut yang melakukan lawatan di hospital mengedarkan peralatan harian termasuk peralatan mandian serta produk penjagaan diri selain memberikan hiburan kepada pesakit melalui nyanyian lagu sepanjang lawatan.

Related Articles

Leave a Reply