Home Pertahanan dan Keselamatan Mat Sabu mulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan

Mat Sabu mulakan tugas sebagai Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Menteri Pertahanan baharu, Haji Mohamad bin Sabu memulakan tugas beliau sebagai menteri secara rasmi pada hari ini. Beliau tiba di Wisma Pertahanan pada pagi tadi.

Beliau menerima tabik kehormat dari Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Lain-lain Pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Kawalan Kehormat Utama diketuai oleh Mejar Juniusabdiah Shah Putra.

Tugas Yang Berhormat Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan kini bermula secara rasmi. Foto: Air Times

Turut hadir menyambut beliau Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affandi Bin Raja Mohamed Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima-panglima Perkhidmatan serta Pegawai-pegawai Kanan Tentera dan awam Kementerian Pertahanan.

 

“Rambo” di kaca mata netizen

Haji Mohamad bin Sabu yang dikenali secara umum sebagai Mat Sabu menjadi tumpuan netizen setelah dicadangkan menjadi Menteri Pertahanan dalam satu pengumuman oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Malah, beliau turut mendapat gelaran “Rambo” oleh netizen kerana sifat tidak gentar beliau sepanjang liputan pada lensa media. Ini terutamanya dengan melihat tularnya beberapa gambar yang telah digubah serta rakaman video beliau mencampak mikrofon dalam satu ceramah politik.

Akaun Twitter rasmi beliau, @MSabu_Official  telah mengumpul seramai 54.5 ribu pengikut (followers) selepas beberapa hari akaun tersebut didaftarkan pada 18 Mei 2018.

Laman Facebook rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu – Menteri Pertahanan Malaysia, yang baru didaftarkan pada hari yang sama telah mengumpul seramai 47, 120 pengikut.

“Satu tugas besar”

Pelbagai cabaran bakal dihadapi oleh beliau yang digelar sebagai “Rambo”. Ini terutamanya dengan melihat cabaran semasa dalam menghadapi isu geopolitik serantau.

Selepas dicalonkan sebagai Menteri Pertahanan, beliau menyifatkan tugas yang digalas oleh beliau sebagai tugas besar kerana ianya merupakan satu portfolio kementerian yang penting serta mempunyai protokol khusus.

Walaupun begitu, beliau bermatlamat untuk membongkar kes rasuah dan penjualan tanah milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikatakan telah tergadai. Selain daripada itu, beliau juga akan menyiasat sekiranya ada unsur rasuah yang berlaku sebelum ini di bawah pemerintahan BN.

“Berkaitan keselamatan negara, kita akan mempertingkatkan lagi. Saya akan tengok apa lagi pembaharuan yang bakal dilakukan dalam ATM,” katanya selepas majlis pengumuman tiga menteri kabinet kerajaan di Menara Yayasan Selangor  pada 12 Mei 2018 lalu.

Kritikan

Walaupun ada yang berpendapat beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan dalam bidang pertahanan, pelbagai pihak mengesa agar beliau diberi bantuan dari segi khidmat nasihat. Malah, kritikan pelantikan beliau sebagai Menteri Pertahanan atas dakwaan tidak fasih berbahasa Inggeris terpadam apabila video temuramah beliau dengan sebuah stesen radio berbahasa Inggeris tempatan telah tular pada beberapa hari lalu.

Dalam PRU-14, Mat Sabu yang merupakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap Timbalan Presiden Pakatan Harapan menang di kerusi Parlimen Kota Raja dengan majoriti undi sebanyak 71142 undi di P. 111 Kota Raja. Beliau menang selesa dengan 90697 undi mengatasi lawan lain dalam persaingan 3 penjuru.

 

Related Articles

Leave a Reply