Home Pertahanan dan Keselamatan Abdul Halim Naib Canselor baharu UPNM

Abdul Halim Naib Canselor baharu UPNM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menggantikan Prof Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkuat kuasa 15 Mei lalu.

Menurut kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UPNM, hari ini, pelantikan Abdul Halim yang mempunyai latar belakang pendidikan akademik cemerlang sebagai Naib Canselor UPNM dipersetujui oleh bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Pelantikan itu juga adalah berasaskan kepada kriteria yang ditetapkan dan memenuhi standard bagi menjawat jawatan sebagai Naib Canselor.

Antaranya, menjadi keperluan bagi kepimpinan UPNM memahami dunia pertahanan dan keselamatan, aspek regimental ketenteraan, memiliki jaringan antarabangsa dengan tentera luar negara, selain memiliki kepakaran pengurusan pertahanan serta logistik.

Naib Canselor UPNM juga perlu berpengalaman melatih, memahami pelbagai aspek keperluan ketenteraan serta sentiasa relevan dan konsisten untuk menerajui tampuk kepimpinan UPNM.

Majlis serah tugas yang diadakan kelmarin disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, Pengurusan Tertinggi Universiti dan Pegawai Kanan Universiti.

 

 

Related Articles

Leave a Reply