Home Pertahanan dan Keselamatan Kawalan sempadan ditingkatkan

Kawalan sempadan ditingkatkan

by Noor Sheila Amin

KOTA BHARU, 15 Mei – Markas 8 Briged Infantri perlu memberikan tumpuan kepada aspek keselamatan di sempadan serta meningkatkan hubungan dengan agensi-agensi yang terlibat bagi memastikan perbatasan negara tidak dibolosi oleh anasir luar.

Bekas Panglima 8 Briged, Bri­gadier Jeneral Datuk Nazari Abd.Hadi berkata, terdapat 129 pangkalan haram di sempadan negara di sepanjang Sungai Golok yang digunakan oleh pe­nyuludup.

Beliau bagaimanapun berkata, tugasan untuk mengawal sempadan itu dijalankan dengan baik oleh anggota-anggotanya, namun mereka tidak boleh leka kerana ancaman sentiasa wujud.

“Sudah hampir dua tahun saya bersama warga 8 Briged, pelbagai kenangan pahit dan manis sudah dilalui. Antara cabaran yang ditangani ialah isu lintas sempadan kerana kita dipertangungjawab untuk menjaga 128 kilometer sempadan Malaysia dan Thailand.

“Terdapat 129 pengkalan ha­ram yang digunakan untuk urusan penyeludupan seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan petrol.

“Kita terdedah kepada pelbagai ancaman sekiranya tidak dikawal dengan rapi kerana penyeludupan bukan hanya kepada barangan keperluan harian tetapi juga barangan yang mengancam keselamatan seperti senjata api dan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tugas sebagai Panglima 8 Briged kepada pemangku, Kolonel Noorrul Azril Ariffin dalam satu majlis di Padang Kawad Markas 8 Briged di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Ramli Jaafar.

Seramai 18 pegawai dan 223 anggota lain-lain pangkat menyertai upacara perbarisan pada majlis serah terima tugas itu.

Sementara itu, Nazari turut menggesa seluruh warga Briged untuk terus merealisasikan hasrat dan hala tuju pasukan ke arah mewujudkan satu ketumbukan yang mampan serta sentiasa re­levan dalam melaksanakan apa sahaja tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Seluruh warga 8 Briged diharap dapat meningkatkan lagi tahap profesionalisme serta meneruskan legasi kecemerlangan organisasi ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply