Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS ucap tahniah pada Mat Sabu

PAS ucap tahniah pada Mat Sabu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu yang dilantik sebagai menteri pertahanan.

Beliau berharap Anggota Parlimen Kota Raja itu mampu melaksanakan tanggungjawab berat yang digalas.

“Saya ucapkan tahniah atas pelantikan beliau, mudah-mudahan beliau dapat tunaikan tanggungjawab yang agak berat ini dalam mempertahankan negara.

“Selama ini beliau sebut bahawa kekuatan tentera negara adalah untuk mempertahankan negara, bukan mempertahan parti politik.

“Kita akan menilai sejauh mana beliau sebagai menteri pertahanan menggunakan aset negara bagi mempertahankan negara,” katanya pada sidang media sempena majlis Jamuan Rakyat dewan undangan negeri (DUN) Demit, di Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dipilih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggalas jawatan tersebut.

Sebagai rekod, Mohamad merupakan bekas timbalan presiden PAS yang disingkirkan pada Muktamar PAS 2015 sehingga membawa kepada penubuhan parti baru iaitu AMANAH.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik berbanding pemerintahan BN sebelum ini.

Katanya, HARAPAN perlu menunaikan janji manifestonya termasuk bayaran royalti petroleum kepada negeri Kelantan dan Terengganu.

“Kita harap kerajaan pusat dapat menunaikan janji dan tidak mengikut jejak langkah BN yang menzalimi negeri dengan tidak menghormati konsep federalisme.

“Kita rakyat akan menilai sejauh mana kerajaan menunaikan janji 20 peratus royalti minyak kepada Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply