Home Pertahanan dan Keselamatan Gagalkan misi seludup daun ketum, ATM tingkatkan rondaan keselamatan

Gagalkan misi seludup daun ketum, ATM tingkatkan rondaan keselamatan

by Nurulhuda

PADANG TERAP, 13 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 170 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM15,000 di Pos Sahara, Durian Burung di sini, semalam.

Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail, berkata daun ketum terbabit ditemui ditinggalkan di kawasan semak ketika pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2RRD) melakukan rondaan kira-kira jam 9.30 pagi.

“Rondaan diketuai Koperal Mohd Mustakim Hashim itu menemukan tujuh guni putih di kawasan semak berdekatan pos itu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ada 1,500 bungkusan kecil daun ketum di dalamnya.

“Daun ketum itu dipercayai ditinggalkan di kawasan berkenaan sebelum diseludup oleh pihak ketiga ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyeludupan daun ketum ke Thailand dilihat semakin berleluasa berikutan permintaan dan harganya yang tinggi, iaitu RM90 sekilogram.

Katanya, semua daun ketum berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti penyeludupan daun ketum kerana boleh menjejaskan keselamatan negara.

Related Articles

Leave a Reply