Home Politik Panglima Angkatan Tentera buang undi bersama anggota ATM

Panglima Angkatan Tentera buang undi bersama anggota ATM

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Proses pengundian awal bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia bagi Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU-14) telah dijalankan di seluruh negara.

Proses pengundian awal adalah suatu proses di mana anggota perlu hadir untuk mengundi pada satu tarikh dan masa yang lebih awal daripada hari mengundi yang ditetapkan bagi semua rakyat Malaysia.

Proses ini memakan tempoh satu hari sahaja dan tempoh bagi pengundi ATM adalah ditetapkan pada 5 Mei 2018 (Sabtu) mulai jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di 145 pusat pengundian awal di seluruh Malaysia.

Pengundian ATM terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori Pengundi Awal yang melibatkan semua anggota tentera dan pasangan yang berdaftar di dalam lokaliti sepertimana yang telah diwartakan.

Tidak kira apa jua cabang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia, tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia tetap dilaksanakan oleh kesemua anggota ATM yang layak mengundi. Foto: Air Times

Ini termasuk mereka yang telah bertukar keluar tetapi masih berdaftar di lokaliti tersebut dan mereka yang berkursus di dalam negara.

Penglibatan pengundi ATM adalah seramai 152,357 orang melibatkan 110,277 orang pengundi bagi perkhidmatan Tentera Darat, 22,499 orang pengundi perkhidmatan Tentera Laut dan 19,581 orang pengundi perkhidmatan Tentera Udara.

Kategori Undi Pos melibatkan anggota yang terlibat dengan tugas-tugas operasi dan latihan di dalam dan luar negara, bertugas dalam misi PBB, bertugas atau berkursus di luar negara. Walau bagaimanapun pasangan masih dalam kategori pengundi awal kecuali mereka yang mengikuti suami berkursus atau bertugas di luar negara.

Para anggota Kor Polis Tentera Darat merupakan antara pengundi awal yang melaksanakan tanggungjawab mereka di Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Kementah pagi tadi. Foto: Air Times

Penghantaran undi pos adalah melalui Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) diperolehi di Pejabat Pilihan Raya Negeri yang dikeluarkan kepada anggota tentera yang terlibat di dalam kawasan operasi sahaja.

Di Lubnan, anggota pengaman MALBATT 850-5 telah menyelesaikan tanggungjawab mereka biarpun jauh dari tanah air. Foto: MALBATT 850-5

Bagi misi PBB, anggota yang terlibat di bawah misi PBB menerima urusan penghantaran undi pos antara koordinasi Jabatanarah Fiekod dan Pencen (JRP) bersama Markas Angkatan Bersama (MAB). Penglibatan Pengundi ATM bagi undi pos PRU-14 dalam misi PBB melibatkan 839 orang. Penugasan penasihat pertahanan di kedutaan seramai 149 orang, operasi luar negara seramai 42 orang dan kursus luar negara seramai 23 orang.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kementah. Foto: Air Times

Jeneral Tan Sri Raja Mohd Affendi bin Raja Mohd Noor, Panglima Angkatan Tentera, dan Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Laut telah melaksanakan pengundian awal di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Kem Kementah bagi Parlimen Setiawangsa.

Tan Sri Zulkiple Hj Kassim , Panglima Tentera Darat mengundi di Kem Perdana Sungai Besi. Foto: Twitter Tentera Darat

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple bin Hj Kassim telah melaksanakan pengundian di Pusat Mengundi Institut Komunikasi Dan Elektronik (lKED) Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi manakala Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Hj Buang telah melaksanakan pengundian di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn (DTHO).

Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Udara membuang undi di Sekolah Kebangsaan Desa Tun Hussein Onn. Foto: Twitter TUDM

Related Articles

Leave a Reply