Home Politik MALBATT 850-5 selesai hak sebagai pengundi

MALBATT 850-5 selesai hak sebagai pengundi

by M.Daim

LUBNAN, 5 Mei – Seramai 806 orang pegawai dan anggota ATM yang berkhidmat di bawah misi UNIFIL di Lubnan telah melaksanakan tanggungjawab mengundi pos sempena PRU 14.

Perlaksanaan undi pos ini telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 4 Mei di Kem Tibnin dan 5 Mei di Kem Marakah. Kedua-dua pusat lokasi mengundi dibuka pada jam 8 pagi sehingga 5 petang.

Kem Ma’rakah mencatat pengundi paling ramai iaitu 450 orang diikuti Kem Tibnin seramai 208 orang manakala seramai 148 orang mengundi di Malaysia kerana sedang bercuti misi. Pecahan pengundi adalah 782 orang lelaki dan 23 orang wanita dari pelbagai bangsa.

Hak sebagai pengundi tetap dilaksanakan walaupun berbakti di negara asing. Foto:- MALBATT 850-5

Komander MALBATT 850-5, Kolonel Khairul Anuar bin Ab Aziz berkata “Semua anggota MALBATT telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di dalam mendokong proses demokrasi,”

“Hak mereka sebagai pengundi tidak diabaikan oleh  ATM. Walaupun baru selesai membuat tugas ronda di luar kem, anggota tetap bersemangat untuk hadir mengundi.”

Pada hari yang sama juga, Duta Malaysia ke Lebanon iaitu Tuan Yang Terutama Mohd Aznor bin Mahat dan isteri turut hadir untuk menyaksikan proses undi pos warga MALBATT 850-5 di Kem Ma’rakah.

Wakil dari Jabatan Arah Rekod dan Pencen dari Markas ATM, Leftenan Kolonel Azizah bt Md Yusoff, telah tiba di Kem Marakah pada 2 Mei 18 bagi menguruskan dan membawa borang undi untuk warga MALBATT 850-5.

MALBATT 850-5 telah memulakan tugas misi pada 7 September 2017 dan dijangka akan menamatkan misi pada 20 September 2018.

Related Articles

Leave a Reply